PUTRAJAYA 5 Sept. – Dakwaan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah menyalahgunakan dana Kumpulan Wang Disatukan yang diwarisi daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti yang nyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini adalah tidak benar.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei lalu, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April adalah RM35.5 bilion dan daripada jumlah tersebut, cuma terdapat RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit.
Dengan kata lain, beliau menjelaskan, baki yang tinggal adalah RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017 dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta setakat 30 April lalu.
“Ini juga menunjukkan bahawa Akaun Hasil Disatukan telah menyusut dengan mendadak sebanyak RM11.41 bilion dalam masa empat bulan. Najib patut menjawab mengapa jumlah ini merosot dengan mendadak sebanyak RM11.41 bilion atau 96 peratus dalam Akaun Hasil Disatukan dari 31 Disember 2017 hingga 30 April 2018.
“Akan tetapi, Najib terus memfitnah Kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan RM42.2 bilion yang beliau mendakwa ditinggalkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan pada 31 Disember 2017 sedangkan beliaulah yang sebenarnya yang meninggalkan RM450 juta sahaja untuk digunakan pada 30 April 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun kerajaan telah memberikan percutian cukai yang berkuatkuasa 1 Jun 2018, kedudukan kewangan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang belum diaudit telah bertambah baik kepada RM59.90 billion setakat 31 Julai lalu.
Pada masa yang sama, kata beliau, jumlah Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit juga menunjukkan baki yang lebih tinggi iaitu RM3.81 bilion daripada RM450 juta setakat 30 April lalu.
“Peningkatan di dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit kepada RM3.81 bilion pada 31 Julai 2018 adalah penambahbaikan 8.5 kali ganda yang diteraju oleh Pakatan Harapan berbanding Kerajaan Barisan Nasional setakat 30 April lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











