PUTRAJAYA 5 Sept. – Zaman penjawat awam perlu menurut arahan secara membuta tuli sudah berlalu, tegas Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.
![]() |
|
DATUK Seri Dr. Ismail Bakar
|
Dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara, katanya, penjawat awam perlu sentiasa bersedia melaksanakan perubahan dalam mengharungi segala bentuk halangan yang dihadapi.
Beliau berkata, penekanan juga harus diberi dalam aspek pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan bagi memastikan dana awam tidak disia-siakan.
“Dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, dan bukan hanya menjadi seorang pengikut.
“Zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, antara ikrar utama beliau ketika menerima lantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara seminggu lalu adalah untuk melaksanakan reformasi ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat.
Kebelakangan ini katanya, perkhidmatan awam agak sedikit terkait dengan isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam.
Sebagai tulang belakang negara, kata beliau, golongan itu harus berani bertindak untuk terus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas.
“Perkhidmatan awam sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyantuni rakyat. Jurang antara perkhidmatan awam dan rakyat perlu ditutup supaya perasaan pemilikan (sense of ownership) dapat diresai oleh semua lapisan masyarakat. – UTUSAN ONLINE











