KUALA LUMPUR 5 Sept. – Pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac mengakui berbangga dengan kejayaan Henry Golding yang mencipta nama di Hollywood dengan membintangi filem Crazy Rich Asian.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 47, berkata, Henry membuat keputusan yang tepat dengan mencipta nama di sana ketika usianya yang masih muda.
“Saya ucapkan tahniah kepada Henry atas kejayaannya di Hollywood. Saya juga bangga dengan pencapaian dia.
“Bagi saya, dia memulakan langkah yang tepat untuk terus mencari peluang demi peluang di sana.
“Apa yang dia buat itu betul, dia pun tahu pasaran filem di Malaysia ini kecil.
“Tambahan pula dia juga tidak begitu fasih berbahasa Melayu, menjadikan peluangnya di sini lebih sukar,” ujar Hans ketika ditemui dalam majlis sidang media pelancaran program realiti Celebrity Car Wars diterbitkan saluran History Asia, semalam.
Dalam pada itu, Hans turut berkongsi perancangannya untuk mencari tapak dan memulakan kerjaya di Hollywood. Jelasnya, usia bukan penghalang untuk dia berjaya di sana.
Bagi pelakon filem Baik Punya Cilok ini, pemikiran orang di sana berbeza berbanding Malaysia yang hanya memberi peluang kepada pelakon-pelakon muda.
“Sasaran saya sekarang adalah untuk ke Hollywood. Umur tidak jadi masalah di sana kerana populariti bermula pada usia 40 tahun.
“Berbeza pula dengan pasaran Malaysia yang mana penonton mahukan pelakon muda,” ujarnya yang pernah berlakon dan dikenali di Thailand dan Filipina. – UTUSAN ONLINE











