KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersifat terbuka sekiranya terdapat syarikat yang berminat untuk bersaing dengan Astro bagi menyediakan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar di negara ini.
Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, kementeriannya bersedia memberi hak atau lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP) kepada syarikat-syarikat yang berminat asalkan mereka mematuhi syarat-syarat digariskan.
Katanya, antara syarat itu ialah syarikat perlu ditubuhkan dan didaftar di Malaysia dengan modal berbayar sebanyak RM500,000.
“Namun pertimbangan perlu diberikan kerana Astro telah diberi hak selama 25 tahun berdasarkan kepada pelaburan yang dibuat untuk memajukan teknologi bagi mendapatkan kandungan yang baik.
“Astro, misalnya memerlukan tempoh kira-kira 23 tahun bagi mendapatkan semula pulangan pelaburan. Ini bukan satu perkara yang mudah selain memerlukan modal yang begitu besar,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini semalam.











