ADAKAH masyarakat Malaysia berada dalam keadaan terdesak? Sejak beberapa minggu, laman media sosial penuh sesak dengan rungutan orang ramai berkenaan wujudnya kembali Macau Scam yang semakin berleluasa. Walaupun sindiket ini telah lama bertapak di negara ini, namun, sehingga kini kewujudannya masih tidak mampu dibendung.
Sindiket ini sebenarnya didalangi oleh warga tempatan dan warga asing yang membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili bukan sahaja mana-mana institusi kewangan, malahan agensi kerajaan yang terlibat dalam pengeluaran saman dan kompaun.
Semua orang tidak lagi berasa selamat daripada menerima panggilan daripada kumpulan ini. Jika dahulu mereka membuat panggilan rawak, sejak beberapa bulan lalu, mereka sudah bijak dalam mendapatkan nombor telefon daripada direktori agensi kerajaan dan juga swasta.
Dalam masa dua bulan ini, penulis telah menerima dua panggilan daripada kumpulan Macau Scam ini. Panggilan pertama kononnya datang dari RHB Bank dan ia merupakan satu panggilan mesin automatik. Perkara yang pelik mengenai panggilan ini ialah ia dibuat daripada nombor talian mudah alih. Setahu penulis, pihak bank tidak pernah menggunakan nombor talian mudah alih untuk melakukan panggilan melalui mesin.
Penulis dikehendaki menekan nombor yang diberikan untuk bercakap dengan talian perkhidmatan pelanggan. Setelah menekan nombor yang diberikan, penulis akhirnya dapat bercakap dengan pegawai khidmat pelanggan palsu. Seperkara yang menarik ialah pegawai palsu ini tidak dapat bercakap dengan menggunakan bahasa Melayu yang fasih serta bunyi latar belakang seakan-akan menunjukkan bahawa pegawai palsu ini berada di tepi jalan sedangkan sewajarnya panggilan ini dilakukan di dalam pejabat yang lebih sunyi dan profesional. Setelah mendengar bunyi latar belakang yang mencurigakan, penulis meletakkan talian.
Panggilan kedua pula masih datang dari nombor talian mudah alih dan kali ini panggilan diterima dari Polis Diraja Malaysia mengenai saman tertunggak. Sekali lagi, penulis berasa pelik mengapa pihak polis menggunakan nombor talian mudah alih yang disambungkan dengan mesin. Penulis terus meletakkan telefon.
Selain itu, pengguna juga akan menerima panggilan yang dibuat bagi pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik mereka. Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dan boleh menyebabkan kerugian berjumlah ribuan ringgit. Malah, ada di antaranya menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai Bank Negara Malaysia bagi tujuan penipuan.
Penulis bersyukur kerana mempunyai ilmu berkenaan skim penipuan melalui telefon dan atas talian. Bagaimana pula dengan suri rumah dan juga orang tua kita di kampung? Mereka ini jarang mendapat maklumat mengenai skim sebegini. Bayangkanlah mereka menerima panggilan telefon yang menyatakan bahawa mereka berhutang hampir ratusan ribu ringgit. Sudah pasti mereka akan panik dan tentunya mereka akan membuat sedikit pembayaran kepada sindiket ini jika mereka diugut.
Siapakah yang bertanggungjawab untuk memberikan ilmu mengenai kewujudan skim seperti ini? Beberapa hari lalu, penulis menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang kononnya mempunyai anak di sekolah yang penulis menjadi Yang Dipertua PIBG. Individu tersebut menyatakan bahawa beliau ingin menyumbangkan tiga buah komputer kepada sekolah. Selang beberapa saat beliau minta izin untuk menelefon sebentar lagi kerana bunyi latar belakang yang terlalu bising. Selang beberapa minit, individu tersebut menelefon kembali dan meminta maaf kerana bunyi latar belakang yang bising. Beliau menyatakan bahawa beliau bekerja dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Putrajaya dan ketika itu sedang berlaku proses lelongan barang rampasan seperti telefon bimbit, komputer dan televisyen. Beliau ada bertanya dengan penulis sama ada berminat untuk memesan barang tersebut daripada beliau kerana beliau akan hadir ke sekolah membawa barang tersebut bersama komputer yang ingin disumbangkan.
Penulis telah menghidu bau penipuan di situ dan menyatakan dengan hormat bahawa penulis tidak berminat untuk membeli barangan rampasan. Setelah meletakkan telefon, penulis telah menghantar mesej ke kumpulan WhatsApp YDP PIBG Sepang untuk bertanyakan mengenai perkara tersebut dan amat mengejutkan bahawa kebanyakan daripada mereka telah menerima panggilan yang sama.
Akhir sekali, sebagai masyarakat Malaysia kita perlulah bersatu hati untuk menentang skim penipuan seperti ini daripada terus berleluasa. Kita faham betapa perit-jerih untuk mendapatkan pendapatan halal dan agak merugikan jika pendapatan tersebut hanyut bersama penipuan yang dibuat oleh komplot penipu ini.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










