Mana pampasan kami? - Utusan Malaysia

Mana pampasan kami?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 4 Sept – SeBANYAK 11 peneroka di Felda Raja Alias 2 di sini me­nuntut pampasan selepas sebahagian tanah mereka diambil bagi pembinaan pencawang elektrik sejak tahun 2015.

Kumpulan peneroka terbabit mendakwa, mereka tidak dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Felda mengenai perkara itu malah tidak pernah menerima notis berhubung pengambilan tanah atau pampasan yang sepatutnya diterima.

Anak salah seorang peneroka, Dr. Hanafi Yahya berkata, setiap peneroka terbabit kehilangan antara 0.52 hektar hingga 1 hektar tanah bagi pembinaan pencawang elektrik selain hilang hasil tuaian kelapa sawit di atas tanah terbabit sejak tiga tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami minta TNB, Felda dan Pejabat Tanah Daerah Jempol menyelesaikan isu ini dengan segera. Dalam tempoh tiga tahun, tiga peneroka yang terbabit telah pun meninggal dunia dan tidak sempat menerima pampasan daripada tanah yang diteroka dengan titik peluh mereka.

“Kami minta supaya TNB menghentikan projek pembinaan pencawang di atas tanah peneroka buat sementara waktu sehingga isu pampasan ini diselesaikan.

“Kami tidak menentang projek ini tetapi mahu menuntut hak pe­neroka yang sebahagian besarnya adalah warga emas,” katanya semasa perhimunan warga peneroka di Felda Raja Alias 2 di sini baru-baru ini.

Tanah peneroka terbabit diambil alih bagi projek pembinaan talian penghantaran dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng di Johor ke Lenggeng, Seremban.

Dr. Hanafi mendakwa, beliau difahamkan bahawa peneroka di Felda Pasoh dan Palong dekat sini yang terlibat dalam pengambilan tanah oleh TNB telah menerima bayaran pampasan kira-kira dua tahun lalu tanpa sebarang masalah.

Katanya, walaupun beliau dimaklumkan TNB telah membuat bayaran pampasan kepada kumpulan peneroka Felda Raja Alias 2 melalui pihak berkuasa namun mereka masih belum jelas tentang jumlah dan bila pembayaran akan dibuat.

“Situasi ini tidak adil kepada peneroka kerana mereka masih belum mendapat wang di tangan mereka sedangkan tanah telah diambil dan pencawang telah dibina.

“Selain itu pihak yang terlibat juga gagal mengeluarkan sebarang surat yang boleh kami jadikan sebagai rujukan dalam isu pampasan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­neroka, Mohd. Nasir Abdullah, 61, berkata, dia hanya menuntut hak selepas lebih tiga tahun tanahnya diambil tanpa sebarang pemberitahuan.

“Pokok-pokok kelapa sawit kami dicabut untuk bina pencawang tetapi tiada pampasan daripada TNB sehingga kini.

“Saya harap akan ada maklum balas daripada pihak yang ber­kenaan bagi menyelesaikan isu pampasan tanah ini,” katanya.

Mohd. Nasir berkata, sebagai menuntut keadilan dalam tuntutan kumpulan peneroka Felda Raja Alias 2, satu laporan polis mengenai perkara itu telah dilakukan di Balai Polis Bandar Seri Jempol pada 23 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini