Taliban umum kematian pengasas militan Haqqani - Utusan Malaysia

Taliban umum kematian pengasas militan Haqqani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL – Pengasas rangkaian Haqqani yang merupakan salah sebuah kumpulan militan paling ditakuti dan efektif, meninggal dunia selepas jatuh sakit sejak sekian lama, kata gabungannya, kumpulan Taliban Afghanistan semalam.

Jalaluddin Haqqani meninggal dunia kata Taliban dalam satu kenyataan di laman Twitter. Anak lelakinya, Sirajuddin kini mengetuai rangkaian Haqqani dan juga merupakan timbalan ketua kumpulan Taliban.

“Jalaluddin tergolong sebagai antara pejuang jihad yang paling hebat semasa eranya,” tambah kenyataan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semasa tahun 1980-an, ketua rangkaian Haqqani itu merupakan seorang komander mujahidin yang memerangi pendudukan Kesatuan Soviet di bumi Afghanistan dengan bantuan Pakistan dan Amerika Syarikat (AS).

Dia menjadi terkenal kerana organisasi tersebut dan keberaniannya di samping mendapat perhatian Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta lawatan peribadi oleh ahli Kongres AS, Charlie Wilson.

Fasih berbahasa Arab, Jalaluddin turut menjalinkan hubungan rapat dengan pejuang-pejuang Arab termasuk Osama Bin Laden. Dia kemudian menjadi seorang menteri dalam rejim Taliban.

Tarikh atau lokasi Jalaluddin meninggal dunia dan jenis penyakit yang dihidapinya masih tidak jelas. Khabar angin mengenai kematiannya pernah tersebar pada tahun 2008 atau 2015. Dia dipercayai berusia dalam lingkungan awal 80-an semasa menghembuskan nafas terakhir. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini