KUALA LUMPUR 4 Sept. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan warga asing yang berhasrat membeli aset hartanah seperti rumah di negara ini.
Walau bagaimanapun, tegasnya, golongan berkenaan tidak akan mendapat visa untuk menetap di sini.
“Mereka boleh beli hartanah di sini tapi kita tidak akan beri mereka visa untuk tinggal di sini,” katanya kepada pemberita selepas berucap dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Balai Seni Negara, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Mohammadin Ketapi dan timbalannya, Wan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mempunyai syarat sedia ada bagi warga asing membeli rumah di negara ini.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut berkata, warga asing yang ingin menjadikan Malaysia sebagai kediaman tetap boleh membuat permohonan menerusi program Malaysia My Second Home (MM2H).
Sementara itu, Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan PH mahu menilai semula projek pembangunan Forest City di Johor kerana mendapati pelaburan yang dilakukan oleh warga asing di kawasan tersebut tidak memberi keuntungan kepada negara.
Jelas beliau, hal demikian ini kerana transaksi pembelian hartanah di kawasan itu tidak sepenuhnya dilakukan di dalam negara. – UTUSAN ONLINE











