PETALING JAYA – Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian suaminya.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd. Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia lingkungan 40-an.
Siasatan terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.
Terdahulu, wanita itu yang memakai baju-T berwarna hitam tiba di mahkamah pada pukul 11 pagi sambil diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman 12.20 tengah hari.
Suspek yang juga Senior Eksekutif di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu kelihatan muram di dalam bilik reman.
Sebelum ini, suspek pernah menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya yang kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.
Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.
Cradle Fund ialah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.
Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney. – K! ONLINE











