KUALA LUMPUR 3 Sept. – Pelakon Aprena Manrose akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membersihkan namanya yang telah dipergunakan oleh bekas pembantu peribadi demi kepentingan diri.
Tindakan itu juga bagi membuktikan dirinya tidak tahu-menahu tentang penipuan yang dilakukan bekas pembantunya itu sekaligus tiada kemasukan wang ringgit yang diterima dalam akaun peribadinya.
Menurut Aprena, 25, dia berasa kasihan dengan peniaga-peniaga online yang tertipu dan dalam masa dia juga turut menjadi mangsa keadaan.
“Saya memang akan buat laporan polis sebab hal ini melibatkan ramai pihak. Perkara ini dah berlarutan sejak April lalu bila ramai yang mesej saya bertanyakan tentang bayaran yang dah dibayar tetapi tiada sebarang rebiu di Instagram milik saya.
“Saya tak sangkalah dia tergamak berbuat demikian sebab perwatakannya sangat baik dan saya pun sudah percaya dengan dia.
“Itu bukan nombor akaun saya, dia hanya menggunakan nama saya sebagai nak tutup kesalahan yang dia lakukan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah pelakon Tiada Arah Jodoh Kita itu lagi, bekas pembantunya itu sudah tidak lagi bekerja dengannya sejak seminggu lalu.
“Kalau ikut jumlah penipuan yang dilakukan, dia dah tipu ribuan ringgit. Saya ada bersemuka dengan dia bagi peluang untuk dia kembalikan semula wang yang telah diambil.
“Peluang yang saya bagi pada dia pun dikhianati kerana dalam tempoh dia berjanji nak selesaikan semua isu itu, saya masih ada menerima mesej di Instagram bertanyakan hal yang sama (rebiu produk).
“Saya tak nak nama baik saya terjejas disebabkan penipuan yang dia buat. Sebab itu saya buat pendedahan di Instagram kerana tidak mahu ramai yang terkena dengan dia.
“Bila saya buat begitu, rupa-rupanya dah ramai yang pernah menjadi mangsa dia sebelum ini. Satu persatu cerita pasal dia menipu duit orang dikongsi oleh mangsa.
“Beberapa minggu lalu, dia hanya berdiam diri dan langsung tidak bercakap dengan saya. Malahan panggilan telefon saya juga tidak berjawab hingga saya terpaksa buat keputusan untuk memberhentikan dia, “ tuturnya. – UTUSAN ONLINE











