KUALA LUMPUR 4 Sept.-Sebanyak 600 syarikat tempatan dan antarabangsa serta 350 delegasi asing dijangka terlibat dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan diadakan pada 26 sehingga 30 Mac tahun depan.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah tersebut, 60 peratus melibatkan penyertaan sektor pertahanan dan 40 peratus sektor perindustrian dalam acara yang diadakan secara dwi tahunan itu.
Katanya, LIMA telah berjaya memberi peluang kepada kerajaan untuk menjadikan acara tersebut sebagai rujukan dalam meningkatkan pembangunan dan proses modenisasi ketenteraan melibatkan aspek maritim serta udara.
“ Selain itu, penyertaan dan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan sejak tahun 2015 turut berjaya meluaskan penyertaan sektor lain seperti industri perkapalan dan aeroangkasa.
“Saya berharap LIMA ‘19 nanti berjaya diteruskan dengan pelbagai program serta penyertaan pihak berkaitan seperti syarikat dan juga negara luar dalam mempertingkatkan kerjasama antara antarabangsa serta tempatan ,” katanya menerusi ucapan majlis Pelancaran LIMA’19 di Dewan Perkasa di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE.











