Halimah persoal tindakan SPRM tahan bekas ADUN ketika PRK - Utusan Malaysia

Halimah persoal tindakan SPRM tahan bekas ADUN ketika PRK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan penahanan itu dan pada masa sama mempersoalkan mengapa ia dilakukan pada waktu ini di dalam tempoh berlangsungnya PRK DUN Seri Setia.

“Kenapa sekarang (penahanan itu dibuat), saya berharap pihak berkenaan (SPRM) menjalankan tugas dengan baik dan profesional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Individu yang ditahan ini perlu diberi peluang untuk membela diri dan semestinya kita (parti) mahu sesiapa sahaja yang disyaki disiasat dengan telus dan baik, bukannya tekanan mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui semasa meninjau proses pengundian awal Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Halimah berkata, Pas sentiasa konsisten iaitu pihak yang benar tetap benar dan salah tetap salah serta berharap perkara ini tidak dipolitikkan kerana ada isu yang lebih besar melibatkan orang lebih tinggi jawatannya.

“Kami (Pas) tidak mempunyai masalah walaupun dia merupakan rakan sejawat sebelum ini. Malah, dia ada hak dan belum disabit bersalah sehingga didapati bersalah,” katanya.

Semalam, SPRM menahan seorang bekas ADUN Selangor bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000.

ADUN wanita berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.50 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, bekas ADUN tersebut dipercayai telah melantik sebuah syarikat sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat DUN yang mana syarikat tersebut merupakan syarikat milik anaknya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini