Guan Eng, Li Koon dibebaskan - Utusan Malaysia

Guan Eng, Li Koon dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot bang­lo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh SPRM, keputusan menarik balik kes tersebut bukannya daripada suruhanjaya itu sebaliknya telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM,” kata kenyataan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Pulau Pinang, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh selepas peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng dan Datuk V. Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Li Koon memohon supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hakim Hadhariah berkata, beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas pertuduhan ditarik balik.

“Pertuduhan tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini. Saya tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan. Di mahkamah ini, kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Kena ada noktah, tiada koma, terutamanya dalam kes jenayah,” katanya.

Hakim Hadhariah sebelum itu turut berkata, sejak perbicaraan dijalankan pada Mac lalu, seramai 25 saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan dan masih terdapat 20 lagi saksi yang mungkin dipanggil memberi keterangan selepas ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan, pihaknya telah meneliti representasi yang dikemukakan pihak pembelaan dan memutuskan pada peringkat ini untuk menarik balik pertuduhan ke atas Guan Eng dan Li Koon serta memohon mahkamah agar melepas tanpa membebaskan (DNAA) mereka.

Namun, permohonan itu dibantah oleh peguam Ramkarpal de­ngan alasan apabila pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes tersebut, perintah yang sewajarnya adalah untuk tertuduh dibebaskan sepenuhnya dan bukannya dilepas tanpa dibebaskan.

Sithambaram yang turut mempersoalkan permohonan pendakwaan bagi DNAA berkata, mahkamah tidak boleh mendakwa tertuduh secara bersiri dan perlu ada penamat dalam kes itu.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, untuk suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu didakwa dilakukan ketika Guan Eng mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar di sini pada 18 Julai 2014.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No. 25, Jalan Pinhorn di sini pada 28 Julai 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah ber­kenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini