IPOH – Perselisihan faham berkaitan perbezaan gaji menjadi punca seorang pengawal keselamatan Orang Asli suku Semai ditembak mati rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi, Seri Iskandar pada Jumaat lalu.
Difahamkan, perbezaan gaji mereka adalah RM250 sebulan walaupun kedua-duanya sama pangkat iaitu pengawal keselamatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, perasaan tidak puas hati antara mangsa, Masri Pandak, 37, dengan suspek yang berusia 52 tahun itu disyaki bermula sejak tiga bulan lalu.
“Suspek beranggapan mangsa cuba untuk masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya di kilang tersebut selain menyebarkan cerita kurang enak berkaitan dirinya kepada orang lain.
“Perkara itu menyebabkan suspek bertindak menembak mangsa dari jarak dekat ketika mereka sedang bertugas pada syif petang Jumaat lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini semalam.











