SPRM tidak bincang gugur tuduhan Guan Eng? - Utusan Malaysia

SPRM tidak bincang gugur tuduhan Guan Eng?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Keputusan menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan tidak pernah dibincangkan dengan pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM
 

Menurut laporan Malaysiakini, perkara itu diberitahu oleh beberapa sumber termasuk daripada pegawai penyiasat kanan suruhanjaya itu.

Sumber tersebut berkata, peguam Guan Eng tersilap apabila mendakwa pegawai SPRM yang memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Arahan untuk menarik diri daripada kes ini tidak datang daripada SPRM. Jika ada, sudah pasti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan suruhanjaya itu terkejut dengan keputusan berkenaan.

“Datuk Masri Mohd. Daud juga bukan pegawai SPRM. Beliau ialah Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili Pejabat Peguam Negara. Beliau (Masri) tidak berbincang dengan SPRM mengenai menggugurkan pertuduhan,” kata seorang daripada pegawai SPRM mengikut laporan Malaysiakini, hari ini.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membuat keputusan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian satu lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Seorang lagi pegawai berkata, orang ramai perlu diberitahu hal (menggugurkan kes) ini tidak ada kena-mengena dengan SPRM dan berikutan itu, suruhanjaya berkenaan segera mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengatakan bahawa mereka ‘amat terkejut’ dengan keputusan itu.

Sebelum itu, peguam Guan Eng, Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan menegur SPRM dengan berkata suruhanjaya tersebut tidak sepatutnya berbuat tidak tahu mengenai pembebasan anak guamnya, apabila Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan (SPRM), Masri memaklumkan kepada mahkamah beliau telah menarik balik pertuduhan.

Sementara itu, Masri ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan beliau tidak berbincang dengan SPRM mengenai keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini