Guan Eng: Pas kesal tindakan Jabatan Peguam Negara, gesa SPRM diberikan kuasa autonomi - Utusan Malaysia

Guan Eng: Pas kesal tindakan Jabatan Peguam Negara, gesa SPRM diberikan kuasa autonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kepimpinan Pas kesal dengan keputusan Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan ke atas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran di George Town pada Julai 2014.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mendakwa, tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang selain menyifatkan ia merupakan satu keputusan yang berkepentingan.

Beliau berkata, sebelum ini Tommy Thomas adalah salah seorang peguam yang terbabit dalam sebahagian daripada kes tuduhan rasuah tersebut sebelum beliau dilantik sebagai Peguam Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan Jabatan Peguam Negara hari ini (semalam) untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Guan Eng memberi gambaran bahawa ia adalah salah suatu keputusan yang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan Pas Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Calon Pas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali dan Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kebangsaan, Leftenan Kolonel, Nazari Mokhtar.

Dalam pada itu, Idris menambah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mendapat kuasa autonomi atau kebebasan dalam menyiasat dan mendakwa sebarang kes rasuah.

 Agak mendukacitakan apabila SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa ia terkejut dengan keputusan Jabatan Peguam Negara yang seolah-olah keputusan tersebut bercanggah dengan siasatan dan saranan SPRM.

“Pas berharap agar layanan adil melalui sistem kehakiman bagi semua individu perlu ditegakkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui tindakan bukan sekadar janji retorik politik semata-mata sepertimana janji manifesto PH yang tidak dipenuhi setakat ini,” katanya.

Pada masa sama, Idris turut mencabar Tommy untuk melepaskan jawatannya berikutan kegagalannya mengendalikan kes tersebut meskipun beliau selama ini dilihat sebagai seorang yang berintegriti tinggi dalam bidang perundangan.

“Lebih baik beliau mengundur diri daripada menjadi peguam negara dan SPRM juga perlu menyiasat sekiranya terdapat unsur konflik berkepentingan dalam isu ini,”katanya.

Kosmo! melaporkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dibebaskan daripada dua pertuduhan berkaitan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Turut dibebaskan ialah ahli perniagaan, Phang Li Koon.Ia berikutan pihak pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan tersebut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini