PH ikrar pertahan institusi Raja Berpelembagaan - Khalid - Utusan Malaysia

PH ikrar pertahan institusi Raja Berpelembagaan – Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kerajaan berikrar mempertahankan Raja Berpelembagaan dan menyeru rakyat supaya tidak termakan hasutan yang mengatakan parti itu mahu menghapuskan sistem beraja di negara ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, dakwaan kerajaan mahu menukar sistem negara beraja kepada republik adalah tidak benar dan berniat mahu mewujudkan pertelingkahan perkauman demi kepentingan golongan tertentu.

“Tidak timbul isu kononnya kerajaan baharu yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) akan menukar sistem negara beraja kepada negara republik pada masa akan datang. Semua ini dilakukan untuk meniup kebencian dan perkauman dalam kalangan masyarakat demi kepentingan peribadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan PH berikrar sumpah setia terhadap raja dan institusi Raja-raja Melayu dan akan terus taat dan mempertahankannya sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan 5,000 pelekat ‘Daulat Tuanku’ kepada warga kota sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V anjuran Pertubuhan Warisan Negara di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, di sini hari ini.

Tambah Khalid, pihaknya juga memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan khabar angin dan mempergunakan institusi raja sebagai alat politik.

“Jangan memandai dan bermain dengan api. Jangan cuba sebarkan politik songsang untuk menakutkan rakyat jelata tentang perkara yang tidak akan sesekali berlaku,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Warisan Negara, Datuk Zulkifly Ibrahim berkata, sumbangan pelekat itu merupakan inisiatif pihaknya dalam usaha mendaulatkan sistem raja rerperlembagaan dan menyokong institusi raja-raja Melayu.

“Kempen edaran pelekat cermin kereta Daulat Tuanku ini diharap mampu memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya institusi raja yang perlu dipertahankan untuk mewujudkan keseimbangan dalam pemerintahan berasaskan sistem demokrasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini