KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kes saman fitnah oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Mohd. Rafizi Ramli berhubung penganjuran Ekspo Negaraku 2017 selesai hari ini selepas Naib Presiden PKR itu memohon maaf atas kesilapannya.
Permohonan maaf tersebut dibacakan oleh peguamnya, Abdul Halim Abdul Karim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab.
Rafizi turut bersetuju untuk membayar kos RM20,000 kepada bekas menteri itu.
Pada 22 Februari lalu, Abdul Rahman memfailkan saman tersebut selepas Rafizi memuat naik status dalam laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang akhbar untuk mendedahkan penyelewengan melibatkan seorang menteri yang kononnya memberikan kontak penganjuran ekspo terbabit kepada saudara kandungnya.
Naib Presiden PKR itu telah mengadakan sidang akhbar pada 11 Disember 2017 yang bertajuk ‘Skandal Baru UMNO Menteri Mana Pula Yang Kena?’ di pejabatnya di Sungai Besi di sini yang turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook milik defendan iaitu Rafizi [email protected].
Ketika sidang akhbar itu berlangsung, defendan didakwa secara semberono dan dengan berniat jahat menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah dan palsu serta berniat jahat merujuk kepadanya.
Abdul Rahman dalam sidang media berlainan menafikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PICO Integrated Exhibits (M) Sdn. Bhd., Noor Raslan Md. Dahlan adalah abangnya. – UTUSAN ONLINE











