Gejala ketagihan ketum semakin serius - Utusan Malaysia

Gejala ketagihan ketum semakin serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Sept. – Semakin ramai golongan muda di negeri ini khususnya pelajar sekolah didapati terlibat dalam gejala ketagihan ketum.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Rohayu Ahmad berkata, pihaknya mendapati penagihan ketum semakin serius apabila sehingga penghujung Ogos lalu, sebanyak 1,026 pelajar membuat pengakuan secara lisan terlibat dengan gejala itu berbanding 790 orang bagi sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, kos mendapatkan air ketum yang jauh lebih murah daripada dadah seperti pil kuda juga dikenal pasti sebagai punca utama ia menjadi pilihan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebutir pil kuda yang harganya antara RM8 hingga RM10 paling ramai pun dapat berkongsi dua orang tetapi sebungkus air ketum pada harga sama boleh dikongsi hingga empat orang.

“Fenomena penagihan ketum adalah lebih serius berbanding tahun lepas khususnya di sekolah-sekolah menengah, pelajar rasa ‘selamat’ minum air ketum kerana kalau dibuat ujian air kencing hasilnya adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Terus Bangkit Memerangi Dadah Kepada Pengetua Sekolah di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat.

Rohayu menambah, golongan tersebut juga tidak tahu bahawa penagihan air ketum akan memberi kesan jangka panjang terhadap pembelajaran serta fisiologi tubuh badan yang akhirnya menyebabkan kerosakan hati serta buah pinggang.

“Masyarakat harus diberikan kesedaran bahawa ketum juga memberikan kesan yang bahaya sama seperti dadah sekiranya disalah guna,” jelasnya.

Beliau turut meminta agar sekatan dilakukan terhadap bekalan ketum yang dibawa masuk dari negeri-negeri lain bagi memastikan gejala itu tidak berleluasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini