SHAH ALAM 2 Sept. –Padah menimpa seorang lelaki apabila ditahan kerana memuat naik rakaman video menghina agama Islam dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
![]() |
|
WAJAH seorang lelaki berusia 24 tahun
yang ditahan pihak berkuasa selepas memuat naik rakaman video menghina agama Islam di laman sosial Facebook miliknya. – Gambar Media Sosial |
Lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kedah itu ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Johor Bahru kira-kira pukul 3.40 pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki terbabit ditahan selepas pihaknya menerima satu laporan polis Khamis lalu yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Sejurus menerima laporan berkaitan video yang tular dalam laman sosial berkaitan seorang lelaki menghina agama Islam, kita berjaya menahan lelaki berkenaan di sebuah kawasan di Johor Bahru pagi tadi.
“Hasil semakan mendapati lelaki yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fadzil, lelaki itu ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan keresahan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan.
Baru-baru ini, tular sebuah klip video berdurasi dua minit 35 saat memaparkan rakaman lelaki terbabit yang dipercayai ‘membahaskan’ tentang ketidakpuasan hatinya terhadap Melayu dan Islam.












