PUTRAJAYA 2 Sept. – Peguam kepada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid mendakwa bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan wang kerajaan.
Menurut peguam Datuk Shaharudin Ali, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan perkara itu pada prosiding reman Hasanah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Katanya, alasan itu merupakan hujah yang dikemukakan SPRM untuk melanjutkan tempoh reman Hasanah sehingga tujuh hari lagi.
“SPRM juga mengemukakan alasan untuk mengesan dua Putera Arab Saudi dan mahu menggeledah rumah Hasanah bagi mencari bukti membabitkan kes ini.
“Bagaimanapun Mahkamah Majistret Putrajaya menolak permohonan itu dan hanya membenarkan tempoh reman dilanjutkan satu hari lagi sehingga esok,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Majistret.
Jelas Shaharuddin lagi, selain itu dalam prosiding reman tersebut, SPRM juga mendakwa mahu membawa pulang tiga individu dari Abu Dhabi yang terlibat dalam kes sama.
“Hasanah dalam keterangannya di mahkamah sebentar tadi memberitahu beliau hanya menjalankan tugas di bawah perintah kerajaan Malaysia selain turut menafikan pembabitan Hishammuddin dan dua kerabat Arab Saudi dalam kes ini,” katanya.
Pada masa sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan itu.
Katanya, sesiapa sahaja boleh dipanggil memberikan keterangan.
“No comment (tidak mahu komen). Sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan akan dipanggil,” katanya.
Mahkamah Majistret melanjutkan tempoh reman Hasanah sehingga esok berhubung siasatan kes salah guna wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Wanita itu sebelum ini direman lima hari sejak Rabu lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.











