BATU GAJAH – Dua orang maut selepas beberapa ketul bongkah batu pembahagi jalan tercampak masuk ke dalam sebuah bas ekspres dua tingkat dalam satu kemalangan di Kilometer 12.5 Lebuh Raya Ipoh-Lumut menghala ke Lumut di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, bas berkenaan terlebih dulu terbabas melanggar kira-kira 14 bongkah batu pembahagi jalan di lokasi kejadian sebelum rempuhan kuat tersebut menyebabkan beberapa ketul batu besar terbang masuk ke dalam bas.
Dua orang yang maut akibat rempuhan dan terkena bongkah batu yang dianggarkan seberat 500 kilogram setiap satu ialah pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Munzirah Jalaludin, 20.
Nahas itu juga menyebabkan tiga penumpang cedera parah, 32 lagi cedera ringan dan tiga orang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.











