CARDIFF 2 Sept. – Arsenal terpaksa berdepan detik cemas sebelum berjaya menewaskan Cardiff City 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Cardiff City, sebentar tadi.
The Gunners terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-11 menerusi jaringan Shkodran Mustafi namun Victor Camarasa menyamakan kedudukan pada minit ke-45.
Skuad kendalian Unai Emery itu kembali mendahului permainan hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-62 bagaimanapun kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi tandukan Danny Ward lapan minit kemudian.
Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, Alexandre Lacazette muncul wira The Gunners apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 selepas menerima umpanan cantik daripada Lucas Torreira. – AGENSI











