PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan tidak menghalang mana-mana syarikat minyak seperti BHP dan Caltex memohon untuk dimasukkan ke dalam senarai panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan menerusi program kad inden.
Kad inden merupakan kad elektronik yang digunakan untuk membuat transaksi bekalan bahan api kenderaan.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, permohonan daripada pembekal lain adalah dialu-alukan bagi menambahkan pilihan dan penjimatan kerajaan Persekutuan selain meningkatkan persaingan di pasaran.
“Jumlah anggota tidak dihadkan oleh Kementerian Kewangan ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan kerajaan Persekutuan penjimatan munasabah melalui kad inden.
“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh Kementerian Kewangan daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain,” menurut kementerian itu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai pelantikan Petron ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden.
Kementerian itu menegaskan bahawa keputusan ini dibuat secara pentadbiran untuk perjalanan urusan operasi.
Menurutnya, perkara itu tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta dilaksanakan tanpa campur tangan politik.
“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi anggota panel sekiranya mereka berminat.
“Pihak Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron,” menurut kementerian itu. – Bernama











