KOTA BHARU 31 Ogos – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menyerbu sebuah lokasi dipercayai menjadi markas pengikut syiah dan menahan kira-kira 50 individu, termasuk kanak-kanak dalam satu operasi di Jalan Sri Cemerlang, di sini semalam.
Menurut sumber, serbuan tersebut dibuat menjelang tengah malam sebelum detik sambutan Hari Kebangsaan oleh sepasukan pegawai JAHEAIK dengan bantuan pihak polis.
Katanya, ketika operasi, kumpulan tersebut terdiri daripada lelaki dan wanita dikatakan sedang mengadakan satu upacara keagamaan yang meragukan dan bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Pasukan JAHEAIK turut merampas beberapa barangan seperti bahan bacaan. Sebarang maklumat lanjut akan didedahkan kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan pihaknya bekerjasama dengan JAHEAIK dalam serbuan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.
“Kami hanya membantu JAHEAIK dalam operasi itu dari segi keselamatan manakala urusan selebihnya dikendalikan oleh jabatan itu,” katanya.
Setakat ini, usaha Utusan Online mendapatkan kenyataan Pengarah JAHEAIK negeri, Datuk Che Mohd Rahim Jusuh belum berhasil namun difahamkan, beliau akan mengadakan sidang akhbar pada Ahad ini. – UTUSAN ONLINE











