KUALA LUMPUR 31 Ogos – Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 21 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Izzuddin Shah, Ipoh, Perak berusia antara 13 hingga 17 tahun menghidap penyakit beguk.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pelajar yang menghidap penyakit itu kira-kira 3.2 peratus daripada 660 pelajar dan kakitangan sekolah yang terdedah dengan wabak penyakit tersebut.
Katanya, setakat ini, semua pesakit adalah stabil dan mereka yang terlibat diberi rawatan sebagai pesakit luar.
“Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah menerima laporan mengenai kejadian wabak beguk dalam kalangan pelajar SMA Izzuddin Shah, Ipoh, Perak.
“Penyakit ini disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus. Pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan sakit serta bengkak kelenjar air liur. Ia boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini. -UTUSAN ONLINE











