KUALA LUMPUR 31 Ogos – Seramai 10 bayi merdeka telah dilahirkan sempena menyambut ulang tahun ke-61 kemerdekaan negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi HKL, Dr. Ng Poh Yin berkata, seramai 10 bayi, tujuh perempuan dan tiga lelaki selamat dilahirkan sejak pukul 12 tengah malam tadi sehingga 3 petang ini.
“Bayi pertama, lelaki, seberat 2.7 kilogram lahir seawal pukul 12.14 pagi manakala bayi kedua, perempuan seberat 3.09 kilogram, lahir pada jam 12.24 pagi.
“Tujuh bayi dilahirkan secara normal manakala tiga lagi menerusi pembedahan Ceasarian dan kesemua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, seorang daripada bayi berkenaan merupakan warga Indonesia. – UTUSAN ONLINE











