Tembusi pasar raya seluruh negara - Utusan Malaysia

Tembusi pasar raya seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, pengusaha kek ini yang pada waktu itu hanya beroperasi di rumah, telah berjaya menembusi pasaran di pasar-pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negara.

Tidak henti-henti memanjat syukur kepada Allah, pasangan suami isteri, Zukahida Kasim dan suami, Onnie Zurin Abu, melihat keadaan yang amat menggalakkan itu sebagai satu kurniaan rezeki yang luar biasa setelah sebelum itu beberapa perniagaan yang ditubuhkan terpaksa ditutup kerana masalah pengurusan dan perlu memberi tumpuan kepada ibu bapa yang tidak sihat.

Zukahida berkata, sebagai isteri kepada suami yang berstatus anak tunggal, sudah tentu tumpuannya lebih besar kepada keluarga dan mentua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa yang sama, suami pula tidak sihat, terpaksa menjalani rawatan dan pembedahan membuatkan dia tidak mampu bekerja.

Ketika orang-orang yang disayangi tidak sihat, Zukahida perlu melepaskan tanggungjawab menguruskan kedai-kedainya kerana mahu beri sepenuh tumpuan menjaga kedua-dua mentua dan suami.

“Arwah ibu mentua, Maznah Bahari adalah seorang yang sangat pandai membuat kek buah kukus. Kek buah kukus yang dibuatnya memang sering mendapat pujian kenalan dan rakan-rakan. Ketika menjaga ibu mentua, saya sempat belajar membuat kek kukus daripada dia.

“Kebetulan, saya memang suka masak, dan cubaan pertama membuat kek buah, tidak sangka menjadi pula. Saya mengambil gambar dan memasukkannya ke dalam Facebook agar kawan-kawan yang mahu mencuba boleh membuat tempahan.

“Pada mulanya saya melakukannya sebagai hobi dan tidak sangka mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kenalan terdekat.

“Kek buah kukus memang rumit penyediaannya. Ia perlu dikukus selama empat jam agar tahan lebih lama dan sedap dengan karamel yang lazat. Setakat ini, peminat kek memang menggemari kek-kek keluaran syarikat ini terutama kek buah kukus,” jelasnya yang dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Kata Zukahida, suaminya mencuba membuat panggilan telefon kepada salah sebuah pasar raya, iaitu Aeon Big, mengenai kek buah kukus yang dihasilkan olehnya, kebetulan ketika itu pihak pengurusan pasar raya berkenaan memerlukan kek berkenaan kerana bertepatan dengan perayaan Krismas.

Rentetan daripada itu, kek buah kukus keluaran syarikat mereka, Kolam Emas Sdn. Bhd., dengan jenama Frutissimo semakin mendapat tempat dan sambutan dengan diedarkan ke sembilan lagi cawangan pasar raya yang sama di sekitar Lembah Klang pada 2015.

Seterusnya produk kek kukus buah ini berjaya pula menembusi pasar raya Giant di seluruh negara dan mendapat permintaan yang memuaskan biarpun terdapat persaingan daripada pengedar-pengedar kek lain.

Selain kek buah kukus, syarikat itu turut mengedarkan pelbagai jenis kek buah yang lembab, kek coklat brownies, marble dan sebagainya.

Sementara itu, Onnie Zurin, berkata, memandangkan permintaan kek-kek keluaran syarikatnya semakin banyak, pihaknya segera mencari sebuah premis yang boleh dijadikan sebagai kilang bagi pengeluaran dan pengedaran.

Akhirnya, pada April 2016, syarikat Kolam Emas yang pada mulanya hanya bermodalkan RM5,000, melangkah setapak lagi dengan mempunyai sebuah kilang sendiri di Klang, Selangor.

“Setakat ini, syarikat yang sepenuhnya diusahakan oleh orang Melayu ini, mempunyai 12 pekerja tempatan, selain dilengkapi peralatan moden seperti mesin adunan dan ketuhar. Kami juga mendapat sijil halal, dengan pengeluaran dan pengedaran dalam jangka masa sebulan ialah 14 tan, iaitu bersamaan 40,000 unit yang setiap satu seberat 400 gram.

“Sehingga ini, kami masih lagi meneruskan proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) agar kek-kek yang dikeluarkan sentiasa dipertingkat kualitinya untuk bersaing dengan jenama kek lain di pasaran,” katanya yang turut memberitahu, kek-keknya juga boleh didapati di Pasar raya Lulu, Cold Storage, Tesco, Petron, Petronas, Shell, Jasons Food Hall dan Mercato d’ Market Place.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini