KUALA LUMPUR 30 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kompaun trafik serendah RM15 dan potongan diskaun kepada pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh-tempoh tertentu bermula 1 September ini.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, tawaran yang bermula pada bulan depan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian itu menawarkan kompaun RM15 bagi kesalahan yang dijelaskan dalam tempoh 24 jam.
“Kompaun RM15 itu ditawarkan untuk tiga kesalahan iaitu kesalahan tempat letak kereta, lalu lintas dan halangan lalu lintas yang dijelaskan dalam tempoh 24 jam di kaunter bayaran DBKL.
“Sementara diskaun sebanyak RM30 diberikan untuk ketiga-tiga kesalahan tersebut bagi tempoh bayaran antara dua hingga 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya lagi, bagi tempoh bayaran 15 hingga 30 hari pula, pihaknya menawarkan diskaun sebanyak RM50 untuk kesalahan tempat letak kereta, RM150 kesalahan lalu lintas dan RM200 kesalahan halangan lalu lintas.
“Sekiranya tempoh bayaran melebihi 30 hari, kompaun RM100 dikenakan untuk kesalahan tempat letak kereta manakala RM250 dan RM300 bagi kesalahan lalu lintas dan halangan lalu lintas,” katanya.
Kata beliau, pembayaran boleh dibuat di lokasi seperti kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar. – UTUSAN ONLINE











