SHAH ALAM 29 Ogos – Dalam usaha untuk memudahkan urusan pembayaran, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenalkan kaedah bayaran menerusi aplikasi dalam telefon mudah alih, SnapNPay.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad berkata, pembayaran menggunakan aplikasi SnapNPay itu merupakan kerjasama antara pihaknya dan Bank Islam (M) Berhad (BIMB).
“Aplikasi ini adalah yang pertama seumpamanya dibangunkan dan MBSA menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini menggunakannya.
“Aplikasi ini dapat memudahkan pengguna membuat bayaran kompaun dan cukai taksiran tanpa perlu memasukkan nombor akaun dan jumlah bayaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian aplikasi SnapNPay di Wisma MBSA di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai BIMB, Zury Rahim Zainal Abiden.
Ahmad Zaharin berkata, dengan aplikasi tersebut, pengguna juga boleh membuat bayaran tunggakan MBSA merangkumi urusniaga seperti cukai taksiran, kompaun, bil sewaan, bil air, bil elektrik, lot kosong (kos pembersihan) dan bayaran lesen.
Jelasnya, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SnapNPay menerusi Google Play Store (Android) atau App Store (IOS) secara percuma. – UTUSAN ONLINE











