ALOR SETAR 30 Ogos – Sedar akan kesilapan dilakukan mengundang kepayahan kepada orang lain, seorang lelaki akhirnya memohon maaf di atas ketelanjuran ‘mengamuk’ di bilik bersalin Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, baru-baru ini.
Lelaki berusia 23 tahun yang enggan identitinya didedahkan mendakwa, apa yang berlaku berpunca dari kecelaruan mindanya setelah melihat isteri berusia 24 tahun menanggung kesakitan melalui proses bersalin.
“Saya akui pihak HSB memberi perkhidmatan yang baik namun apa yang berlaku berpunca daripada keadaan emosi yang tidak terkawal.
“Saya menyesal dan mengaku bersalah dengan apa yang berlaku. Sekecil mana pun kerosakan dilakukan, saya tetap rasa bersalah,” katanya dalam sidang akhbar di HSB di sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.27 malam, 24 Ogos lalu dipercayai berpunca daripada keengganan pihak hospital menurut kemahuan lelaki terbabit supaya isterinya dibedah untuk melahirkan anak.
Kemahuannya itu tidak dituruti kerana doktor berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian dan wanita berkenaan akhirnya selamat bersalin secara normal beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.
Bimbang perkara sama berulang, pihak pengurusan HSB kemudiannya mengeluarkan notis menghalang para suami daripada menemani isteri masing-masing di bilik bersalin sehingga mendatangkan rasa tidak senang banyak pihak.
Lelaki itu menambah, dia tidak mengetahui perkara itu telah menjadi bualan ramai sehinggalah melihat sendiri notis berkenaan yang ditularkan di media sosial dua hari selepas kejadian tersebut berlaku.
Sementara itu Pengarah HSB, Dr. Zaiton Udin berkata, pihaknya menerima permohonan maaf lelaki tersebut setelah dia meminta untuk mengadakan perjumpaan bersama pengurusan hospital, semalam.
“Saya mulanya merasa amat ingin tahu sama ada kejadian ini berpunca daripada perkhidmatan kami yang tidak memuaskan namun setelah mendapat penjelasan daripada kedua-dua pihak, saya bersyukur yang lelaki ini sendiri mengakui bahawa kejadian tersebut tiada kena mengena dengan perkhidmatan diberikan.
“Selain memohon maaf, dia turut bersetuju untuk menanggung kerosakan dilakukan. Tentang laporan kepada pihak berkuasa, biarlah pihak berwajib membuat keputusan,” katanya.
Mengulas mengenai larangan terhadap bakal ayah, beliau berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara sebelum larangan itu ditarik balik.
“Beberapa garis panduan sedang diteliti terutamanya terhadap bakal ayah yang kali pertama mahu menemani isteri seperti dialami dalam kes ini.
“Mungkin larangan itu akan ditarik semula tidak lama lagi kerana niat kami baik iaitu supaya para waris terutamanya suami dapat memberi motivasi kepada isteri ketika berdepan proses kelahiran. Cumanya mereka yang terlibat perlulah bersabar dan bertenang,” katanya.-UTUSAN ONLINE











