KUALA LUMPUR 30 Ogos – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura hari ini.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Azmin berkata, pertemuan tersebut berlangsung di Istana Presiden.
Mohamad Azmin berkata, Hsien Loong yakin bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir meletakkan kepentingan utama dalam meningkatkan hubungan dua hala dengan Singapura.
“Hsien Loong melihat secara positif perubahan kerajaan dan pendekatan yang diambil oleh Malaysia.
“Hsien Loong juga menyatakan keyakinan akan penyelesaian terhadap projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan berterima kasih atas usaha yang dilakukan ke arah itu,” kata Mohamed Azmin.
Menurut Mohamed Azmin, beliau turut berkongsi pandangan bagaimana Malaysia dan Singapran boleh meningkatkan kerjasama dua hala, menambah nilai pertumbuhan ekonomi bersama dan pertukaran modal insan.
Mohamed Azmin berada di Singapura bagi mencapai kata sepakat berhubung projek HSR termasuk bertemu Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.-UTUSAN ONLINE











