KUALA LUMPUR – Golongan muda diingatkan tidak mempersia-siakan nikmat kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 61 tahun lalu melibatkan diri dengan sebarang budaya yang boleh merosakkan masa depan mereka.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya sebaliknya mahu generasi muda supaya mengisi nikmat kemerdekaan itu dengan aktiviti serta cara hidup berfaedah yang boleh memberi manfaat kepada kemajuan negara pada masa depan.
“Sudah 61 tahun merdeka, jangan lagi kita (rakyat) khususnya golongan muda dibelenggu dengan memalitkan diri kita dengan perkara-perkara yang menyebabkan kita sukar untuk maju ke hadapan seperti hasad dengki, khianat serta prasangka di antara satu sama lain daripada pelbagai kaum.
“Kita perlu tukar minda dan bangkit bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap Program Ambang Merdeka 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul, di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengetua SMK Bandar Baru Sentul, Nor Aziah Ghazali dan Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan, Azizah Mohd. Said.
Dalam pada itu, Abu Bakar meminta semua rakyat supaya memastikan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara terus kekal utuh dengan berpegang teguh kepada prinsip undang-undang dan asas Perlembagaan Persekutuan.
“Kita hidup dalam keadaan makmur hari ini kerana adanya undang-undang dan Perlembagaan negara. Tanpa undang-undang, Perlembagaan, kita akan kucar-kacir,” ujarnya.
Abu Bakar kemudiannya meluangkan masa melawat sekitar sekolah berkenaan selain menyampaikan sumbangan peribadi untuk aktiviti kelab angklung SMK Bandar Baru Sentul.











