Projek Hospital Pendang perlu diteruskan, manfaat 200,000 penduduk - Utusan Malaysia

Projek Hospital Pendang perlu diteruskan, manfaat 200,000 penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 30 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO negeri menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula penangguhan projek pembinaan Hospital Pendang memandangkan ia satu keperluan yang mendesak dalam kalangan penduduk Pendang.

Ketuanya, Mohammad Fadzil Zolkipli berkata, projek itu perlu diteruskan kerana ia membawa manfaat kepada kira-kira 200,000 penduduk termasuk penduduk di daerah berdekatan.

“Kegagalan Kerajaan PH meneruskan projek Hospital Pendang adalah tamparan hebat buat kerajaan negeri yang dipimpin oleh anak Perdana Menteri sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita masih ingat serangan terhadap pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang kononnya lambat dalam membina hospital berkenaan, tapi kerajaan PH yg mewarisi kedudukan kewangan yang sama, terus gagal melaksanakan projek tersebut sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah mengesahkan pembinaan Hospital Pendang antara projek yang ditangguhkan kerajaan di negeri ini selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembinaan tersebut ditangguhkan susulan pekeliling kerajaan yang meminta mana-mana projek pembinaan yang kemajuannya kurang daripada 15 peratus dihentikan sementara waktu.

Dalam pada itu, Mohammad Fadzil berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang seakan-akan kurang memberi perhatian terhadap projek untuk kebaikan rakyat.

“Sepatutnya kerajaan lebih prihatin terhadap projek berimpak tinggi untuk rakyat serta bantuan kepada rakyat.

“Malangnya ia akan memberikan kesan kepada penduduk Pendang yang seolah-olah dinafikan hak untuk mendapatkan khidmat kesihatan lebih baik,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini