PETALING JAYA 30 Ogos – Sime Darby Bhd. merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berjumlah RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, meningkat 37 peratus daripada RM784 juta tahun kewangan lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Jeffri Salim Davidson berkata, pendapatan turut meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM33.83 bilion daripada RM31.09 bilion.
“Pendapatan kumpulan yang kukuh bagi tahun kewangan 2018 ini sebahagian besarnya disumbangkan daripada pemulihan sektor perlombongan di Australia dan peningkatan perbelanjaan infrastruktur di China,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika membentangkan pencapaian Sime Darby bagi tahun kewangan 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Sime Darby, Datuk Thomas Leong dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan itu, Mustamir Mohamad. – UTUSAN ONLINE











