KUALA LUMPUR 30 Ogos – Surau Al-Barakah Bank Rakyat memberi sumbangan sebanyak 54 unit kerusi roda kepada 18 bangunan kediaman maktab muasasah Tabung Haji di Mekah, Arab Saudi.
Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Mohd. Farid Shah Mohd. Basir berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu jemaah haji Malaysia yang memerlukan bantuan kerusi roda ketika melaksanakan tawaf dan saie haji di Masjidil Haram.
“Kita melakukan sumbangan ini untuk mengambil keberkatan ibadah haji selain ketibaan awal Muharam tidak lama lagi. Kerusi roda tersebut juga boleh digunakan ketika masyair iaitu kemuncak ibadah haji tahun hadapan.
“Sumbangan ini dapat direalisasikan hasil daripada kutipan derma surau yang dilakukan ahli kariah kami di kawasan KL Sentral,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Farid, selain sumbangan kerusi roda, pihaknya turut melaksanakan ibadah korban di Sabah, Sarawak, Selangor, Melaka dan Kemboja menerusi program Sinar Aidiladha 2018. – UTUSAN ONLINE











