KUALA LUMPUR 30 Ogos – Keuntungan bersih PPB Group pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2018 naik kepada RM311 juta berbanding RM96.4 juta pada suku tahun sama tahun lepas.
Perolehan meningkat kepada RM1.08 bilion berbanding RM1.05 bilion pada tahun sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Peningkatan itu susulan sumbangan lebih tinggi daripada Wilmar International Ltd yang disenaraikan di Singapura, keuntungan lebih tinggi daripada segmen bijirin dan perniagaan tani, kejuruteraan alam sekitar dan utiliti, selain pemberhentian perkongsian kerugian dalam Tefel Packaging Industries Co Ltd dengan penjualan selesai pada Jun.
PPB berkata, dengan asas makroekonomi Malaysia yang kekal kukuh, segmen perniagaan utama Kumpulan dijangka mencatat prestasi memuaskan pada tahun kewangan 2018.
Keseluruhan keputusan kewangan Kumpulan akan terus disokong oleh prestasi perniagaan Wilmar.
Mengenai masa depan, pasaran tepung di Malaysia, Indonesia dan Vietnam dan pasaran makanan di Malaysia dijangka terus mencabar dengan harga komoditi yang tidak menentu.
Walaupun terdapat ketidaktentuan dalam pasaran, segmen bijirin dan perniagaan tani dijangka mencatat prestasi memuaskan dengan permintaan stabil pada separuh kedua 2018, selain usaha berterusan untuk kecekapan kos dan menumpukan kepada kualiti produk.
Segmen produk pengguna dijangka terus stabil dengan lebih banyak aktiviti promosi dan kempen yang dirancang pada separuh kedua 2018.
Bagi segmen pameran filem dan pengagihan, ia dijangka disokong oleh barisan filem yang kukuh dan sumbangan daripada pawagam yang baru dibuka di Malaysia pada separuh kedua 2018, menurut PPB. – UTUSAN ONLINE











