KEMAMAN 30 Ogos – Kecuaian dan pengabaian terhadap aspek keselamatan menjadi punca mudahnya berlaku kecurian terutama membabitkan motosikal dan pecah rumah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebanyak 61 kes kecurian motosikal dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dan 23 kes pecah rumah.
“Walaupun indek jenayah di daerah ini menurun, orang ramai dinasihatkan jangan terlalu leka kerana penjenayah yang sentiasa mencari peluang, dan kebanyakan kes turut dikaitkan dengan pengabaian aspek keselamatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di antara Asisten Superintendan Amran Mat, 51, dan penggantinya, Asisten Superintendan Muhamad Sukeri Hassan, 34, di sini hari ini.
Amran yang bertugas lebih tiga tahun di sini ditukarkan ke di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Putih, Kelantan sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Polis Daerah. – UTUSAN ONLINE











