SERI ISKANDAR – Tiga pelajar Tingkatan Tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit dekat sini ditahan polis semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes buli dua pelajar Tingakat Satu di sekolah berkenaan Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketiga-tiga pelajar berusia 15 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini pada pukul 10 pagi bagi membantu siasatan.
“Salah seorang mangsa pelajar Tingkatan Satu itu mendakwa dibawa ke bilik TV di Blok Abu Bakar di sekolah tersebut pada pukul 1 pagi sebelum ditendang dan dipukul di badan termasuk kepala beberapa kali oleh lima pelajar senior yang menutup muka mereka dengan kain.
“Mangsa cuba menjerit namun mulutnya ditutup dan kedua-dua tangan serta kakinya dipegang sebelum sekali lagi ditumbuk di bahagian perut beberapa kali dengan kuat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohamad Zainal, mangsa turut diberi amaran supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian tersebut.
“Keesokannya mangsa yang mengalami sakit di bahagian badan dan kepala sebelum mengadu mengenai perkara tersebut kepada pihak sekolah.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa memberitahu dia dipercayai dipukul disebabkan perbuatannya yang melaporkan kegiatan meminta wang ketiga-tiga pelajar itu daripada pelajar junior kepada pihak sekolah pada tiga minggu lalu,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga pelajar tersebut bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis malam tadi.
“Polis akan menahan beberapa lagi pelajar yang terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya. – K! ONLINE











