Syarikat panel kaca solar potong gaji pekerja didenda RM7,500 - Utusan Malaysia

Syarikat panel kaca solar potong gaji pekerja didenda RM7,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN – Sebuah syarikat pengeluar panel kaca solar didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 15 pertuduhan membuat potongan gaji 15 pekerja secara tidak sah, awal tahun ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas Xinyi Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Hong Kong membuat pengakuan tersebut bagi kesemua pertuduhan berkenaan melalui peguamnya, Jaspal Singh Gill.

Mengikut kesemua 15 pertuduhan, syarikat pengeluar panel kaca terbesar dunia itu didapati membuat potongan upah secara tidak sah terhadap 15 pekerja warga tempatan dengan nilai antara RM2.22 hingga RM4.02 setiap seorang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di syarikat beralamat Industrial Park, Lipat Kajang, Jasin antara 7 Januari hingga 7 Mac 2018.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 91(c) Akta Kerja 1955, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Jaspal Singh dalam rayuannya berkata, syarikat yang mula bertapak di negara ini sejak 2016 dan mempunyai lebih 500 pekerja itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesalahan berkenaan dan memberi alasan potongan dibuat sebagai pengajaran kepada pekerja yang sering datang lewat sehingga menjejaskan perjalanan operasi syarikat.

Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja, Junhamizan Zainal berkata, pihak syarikat tidak boleh memberi alasan untuk tidak mengetahui undang-undang membabitkan pekerja di Malaysia meskipun syarikat antarabangsa, justeru meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal.    

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan kemudian menetapkan denda RM500 bagi setiap pertuduhan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini