Pesona Floria Diraja Putrajaya - Utusan Malaysia

Pesona Floria Diraja Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHEBATAN penganjuran Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya (Floria) mempunyai aura tersendiri apabila keindahan bunga-bungaan dengan warna mempesonakan bukan sahaja mampu menarik minat pengunjung dari sekitar Lembah Klang malah turut menarik minat peminat bunga yang sanggup datang dari jauh.

Seorang peminat bunga, Sariah Shafie, 59, sanggup datang beratus-ratus kilometer dari Yong Peng, Johor bersama keluarganya untuk menyaksikan festival tersebut tahun ini selepas sedikit kecewa apabila penganjurannya tahun lalu terpaksa ditunda.

Malah, katanya, sejak festival tersebut diadakan 11 tahun lalu, mereka sekeluarga tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan keseluruhan ruang pameran dan taman-taman mini yang dipamerkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat meminati pokok bunga sebab itu apabila hadir ke festival ini saya bukan saja akan membeli pokok bunga dan baja tetapi juga mendapatkan idea bagi mengubah dan mengatur landskap di kediaman saya,” katanya kepada Mega Sains.

Festival bunga tersebut yang berlangsung selama sembilan hari sejak Sabtu lalu di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya bukan sahaja menyajikan pertunjukan bunga, malah terdapat pelbagai pameran bunga dan landskap dari pelbagai negara dan agensi yang mengambil bahagian.

Tambah Sariah, bagi sesetengah orang yang menanam bunga, mungkin sekadar satu hobi masa lapang, tetapi baginya, aktiviti tersebut merupakan satu bentuk terapi minda.

“Di rumah saya ada beratus-ratus pokok bunga, setiap hari saya akan ‘bersembang’ dengan bunga-bunga ini kerana ia sangat menenangkan jiwa dan memberikan satu bentuk kepuasan,” katanya yang sangat meminati bunga orkid.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi pengunjung dari Myanmar, Su Myat Hlaing, 20, dia sangat teruja untuk menyaksikan festival tersebut walaupun baharu pertama kali pertama melancong ke Malaysia.

“Saya sangat terkejut kerana terdapat pelbagai jenis pokok bunga yang cantik-cantik dipamerkan di sini. Malah, ada pokok-pokok bunga yang saya tidak pernah lihat sebelum ini turut dipertonton kepada pengunjung,” katanya.

Turut berkongsi pandangan serupa ialah pengunjung dari Indonesia, Sodikoh, 19, katanya, gabungan pertunjukan bunga dan pameran berkonsepkan taman daripada pelbagai pihak sangat mengujakan.

“Saya sangat beruntung kerana tema festival kali ini iaitu 10 Kegemilangan Floria memberi peluang untuk saya melihat semua jenis bunga yang pernah diangkat sebagai tema sejak tahun 2007. Pameran bunga ini sangat cantik dan rugi jika tidak hadir untuk melihatnya sendiri,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat merasmikan festival berkenaan.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Taman Diraja Perak curi tumpuan

REPLIKA taman diraja sering menjadi tarikan utama kepada pengunjung festival bunga terbesar di Malaysia ini kerana akan menampilkan replika istana-istana di negara ini.

Jika sebelum ini, istana dari dua buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan Johor ditonjolkan, kali ini Taman Diraja Perak pula mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn. Bhd (FPSB), Haslinda Khalid berkata, Taman Diraja Perak menampilkan replika Istana Kenangan Kuala Kangsar dengan reka bentuk pintu masuk Istana Iskandariah, arca Labu Sayong dan Menara Jam Kuala Kangsar.

“Arca Labu Sayong yang terkenal sebagai kraf tangan warisan negeri Perak turut diintegrasikan ke dalam reka bentuk laman berkenaan.

“Malah bunga-bunga berwarna kuning di sekeliling taman diraja menyerikan panorama dan memukau pandangan setiap pengunjung kerana seolah-olah mereka berada dalam sebuah istana,” katanya.

Menurut beliau lagi, Wonder Garden yang merupakan satu perjalanan mempesonakan menerusi taman-taman dicipta khas untuk memperingati setiap penganjuran Floria Putrajaya sejak 2007 turut ditonjolkan dalam festival kali ini.

Katanya, mengimbas kegemilangan salah satu tarikan ketika penganjuran sebelum iaitu Taman Mini Hobbiton Malaysia, ia kembali lagi menerusi penambahbaikan dan impak yang baharu.

“Taman itu merupakan perkampungan lelaki kerdil yang menjadi salah satu watak utama filem Hollywood, The Lord of The Rings,” katanya.

Dalam masa sama, Haslinda memaklumkan, pihaknya juga membuka penyertaan kepada pihak luar seperti agensi kerajaan, badan korporat dan universiti.

“Malah kita juga membuka penyertaan antarabangsa dengan membabitkan penglibatan pelbagai negara seperti Korea, China, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Bersempena ulang tahun ke-10 penganjurannya, ratusan ribu peminat bunga dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan secara dekat keunikan hiasan bunga-bunga hidup yang menjadi hamparan di tapak pameran.

Selepas setiap tahun diadakan secara berkala, acara itu secara tidak langsung telah meletakkan Malaysia setanding festival bunga-bungan bertaraf dunia seperti Royal Chelsea Flower Show dan Melbourne Flower Show.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn. Bhd. (PFSB), Haslinda Khalid berkata, festival bunga berkenaan berjaya meletakkan nama Putrajaya dalam peta pelancongan dunia yang sekali gus membantu melonjakkan ekonomi negara.

“Penganjuran Floria Diraja Putrajaya pada setiap tahun berjaya menyaksikan kehadiran lebih ratusan ribu pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Festival ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tema Floria Putrajaya Diraja 2018 ialah 10 Kegemilangan Floria iaitu kesemua bunga tema dari Floria 2007 sehingga 2016 dipamerkan dalam festival kali ini,” katanya.

Pada masa sama, Haslinda menambah, Floria Diraja Putrajaya bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, tetapi bertujuan merangsang ekonomi dan menjana peluang perniagaan serta rangkaian antara pengusaha florikultur sama ada dalam dan luar negara.

Jelasnya lagi, sejajar dengan hasrat mempromosikan Putrajaya sebagai bandar raya dalam taman, acara itu adalah tepat pada masanya untuk memperkenalnya sebagai ikon atau tarikan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Malah saya diarahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Kementerian Wilayah supaya menceriakan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan menanam lebih banyak bunga.

“Saya berharap festival ini dapat menjana idea dalam merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan kehadiran 1.5 juta pengunjung memandangkan ia berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

“Pada tahun ini, kita menjangka angka bertambah berkali ganda menerusi kedatangan orang ramai ke sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya.

“Bagi pihak PFSB, kita berusaha agar kepimpinan negara dapat menggunakan kesempatan berada di Putrajaya dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2018 digunakan mengunjungi ke festival bunga yang bertaraf antarabangsa ini,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini