MENGGADAI nyawa untuk menyelamatkan seorang individu yang berputus asa untuk hidup.
Itu antara tanggungjawab Pasukan A Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, Kuala Lumpur walaupun tidak diberi latihan khusus untuk melakukan tugas tersebut yang berlaku hampir setiap bulan.
Walaupun ada segelintir mempersoal tindakan bomba membahayakan diri bagi menyelamatkan nyawa orang yang cuba membunuh diri, namun semua itu tidak mematahkan semangat dalam menjalankan tugas menyelamat.
Penyelia Pasukan A BBP Pudu, Pegawai Bomba Kanan II Azis Karim berkata, operasi menyelamat orang yang ingin membunuh diri sebenarnya menguji mental anggota.
Menurutnya, selain perlu pantas berfikir cara terbaik untuk menyelamatkan individu terlibat, mereka juga perlu menggunakan taktik psikologi.
“Kami tidak dilatih untuk memberi kaunseling serta cara-cara bagi mengalihkan perhatian mangsa, tetapi mahir dalam aspek menyelamat.
“Jadi kami perlu cepat berfikir untuk bertindak bagi memastikan individu terlibat dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemu bual oleh Mega Wira di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Hang Tuah di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengimbau operasi menyelamat lelaki yang cuba membunuh diri di Flat Sri Sarawak, Kuala Lumpur pada 8 September 2015, Azis memberitahu, pasukannya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4 petang.
Ketika tiba di lokasi, pasukannya mendapati lelaki berusia 30-an itu sedang duduk di balkoni sambil menjuntaikan kaki di tingkat 15 kediaman tersebut.
“Kami terus menyiapkan peralatan bagi memulakan operasi menyelamat. Mangsa ketika itu sedang meracau-racau dalam bahasa ibundanya dan kami bernasib baik kerana mempunyai anggota yang fasih berbahasa Mandarin bagi berinteraksi dengan lelaki berkenaan.
“Ketika itu, kami lihat lelaki berkenaan memang bertekad untuk terjun dengan alasan mempunyai masalah peribadi sehingga berputus asa untuk hidup. Jadi kami perlu memastikan usaha mangsa tidak berjaya selain menyelamatkannya,” katanya.
Menurut Azis, pihaknya mengambil masa sekitar 45 minit untuk memujuk mangsa serta bagi mengalihkan perhatiannya,
“Ketika sedang berborak, seorang lagi anggota bertindak menarik badan mangsa sehingga berlaku pergelutan. Anggota tersebut turut ditarik ke balkoni di mana mangsa duduk, namun hasil daripada kerjasama pasukan, lelaki itu berjaya ditarik seterusnya ditahan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azis berkata, beliau sering mengingatkan anggotanya yang mereka perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai operasi menyelamat termasuk khidmat kemanusiaan.
Jelas beliau, walaupun lucu didengar, pasukannya pernah menerima panggilan kecemasan untuk ‘menyelamatkan’ kunci kereta.
“Kunci kereta itu terjatuh ke dalam longkang dan sukar diambil kerana dihalang oleh penutup besi jadi kami bantu pemiliknya ‘menyelamatkan’ kunci tersebut,” katanya sambil tersenyum.











