KUALA LUMPUR 29 Ogos – Dua petugas pembersih pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa mungkin menganggap rutin harian bertugas di pejabat tersebut sewal 7 pagi sehingga pejabat ditutup adalah perkara biasa, sekadar tugasan.
Namun siapa sangka dedikasi yang ditunjukkan setiap hari itu dalam diam mendapat perhatian daripada ketua mereka.
Mengenangkan sumbangan dua pekerja tersebut, Ali Hamsa memuat naik gambar bersama kedua-dua petugas tersebut di akuan Twitter sebagai tanda terima kasih semalam.
Dalam tweet yang mendapat 592 tanda suka dan 136 ulang tweet itu Ali Hamsa menyifatkan kedua-dua petugas wanita itu sebagai wira tidak didendang.
“Kedua-dua wanita ini adalah ‘the unsung heroes’ di pejabat saya. Tepat jam tujuh pagi hinggalah pintu pejabat ditutup, mereka inilah yang akan memastikan pejabat pentadbiran ini sentiasa kemas dan bersih.
“Terima kasih! Semoga anda berdua dirahmati Allah SWT,” katanya menerusi akaun Twitter, semalam.
Tweet tersebut turut mengundang komen daripada netizen yang turut berkongsi rasa kagum dengan kedua-dua wanita tersebut.
Abu Muhammad menulis: “Jika pic (gambar) ini diambil atas permintaan dua pekerja ini, bermakna mereka tahu betapa berharga kehilangan seorang bos (ketua) yang baik. Jika pic (gambar) ini diambil atas permintaan Dr, ia tanda penghargaan atas didikasi mereka berdua,” ujarnya.
Ali Hamsa, 63, yang berkhidmat sebagai KSN ke-13 sejak 2012 menyerahkan tugas kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Ismail Bakar semalam.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan watikah pelantikan Ismail dalam satu pertemuan ringkas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – UTUSAN ONLINE











