KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan digesa untuk membuat keputusan secepat mungkin mengenai projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bagi mengelakkan kesulitan disebabkan pencemaran alam sekitar dan masalah pengambilan tanah.
![]() |
|
Senator Datuk Ong Chong Swen
|
Naib Pengerusi Wanita MCA, Datuk Ong Chong Swen berkata, penduduk Pantai Timur tidak boleh dibiarkan berterusan menjadi mangsa daripada tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat bermain tarik tali dalam isu tersebut.
“Kerajaan PH seolah-olah tidak mempunyai perancangan komprehensif sama ada untuk membatalkan atau meneruskan projek ECRL.
“Kita menggesa kerajaan PH untuk menetapkan jangka masa dalam membuat keputusan berhubung projek ini agar penduduk Pantai Timur tidak menjadi mangsa akibat kesan pencemaran alam sekitar dan masalah pengambilan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam lawatan lima hari ke China baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mahathir berkata, projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) yang bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.
Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan sementara atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan projek ECRL dan projek lain yang berkaitan dengan China.- UTUSAN ONLINE












