MELAKA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk sejak Mac lalu di negeri ini akan terus kekal dan utuh selagi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan mereka bersama-sama UMNO tidak ‘mengubah fikiran’.
Empat ADUN terlibat ialah Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan ADUN Telok Mas, Datuk Nor Effandi Ahmad serta dua lagi ADUN Bebas iaitu Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Keempat-empat mereka juga kini menjadi Exco kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Meskipun tidak timbul sebarang ura-ura pertukaran kerajaan negeri yang kini memiliki 17 kerusi berbanding 11 di bawah Pakatan Harapan (PH), mereka perlu berwaspada kerana PN Melaka juga bukan kerajaan negeri yang ‘menang pilihan raya’.
Mengakui situasi itu kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri khususnya UMNO Melaka tidak boleh mengambil mudah dengan faktor dinamika politik hari ini seperti yang berlaku di Perak.
“Kerajaan yang terbentuk hari ini dan keupayaan mentadbir negeri Melaka kali ini disokong oleh ADUN yang menukar haluan untuk bersama-sama UMNO, memang kekuatan kita bergantung kepada empat orang ini.
“Kita tidak boleh yakin sepenuhnya kerajaan ini kukuh, teguh dan sebagainya kerana kalau mereka tukar seperti dilakukan sebelum ini, apa akan terjadi kepada kerajaan negeri sedia ada maka mereka perlu lebih waspada dan hati-hati serta tidak mengambil mudah,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, Idris yang juga ADUN Sungai Udang percaya keempat-empat ADUN tersebut akan terus kekal menyokong kerajaan PN Melaka yang ada walaupun suasana agak tertumpu kepada isu yang sedang berlaku di Perak.
Menurut Idris yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, beliau turut melihat faktor ketidaksamaan antara UMNO, Bersatu dan Pas perlu diatasi.
“Hari ini kita melihat Pas seolah-olah mengamalkan poligami politik apabila mereka bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan pada masa berada dalam PN bersama Bersatu yang tidak disertai UMNO.
“Daripada ketidaksamaan ini macam ada satu perkara yang tidak tuntas untuk mengukuhkan lagi kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Pas perlu membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










