KUALA LUMPUR 29 Ogos – Cedera di wajah dan pecah gegendang telinga merupakan antara kejadian yang berlaku sepanjang empat bulan pelakon Ammar Alfian menjayakan filem terbaharunya Paskal.
Berkongsi pengalaman itu, kata Ammar walaupun keadaannya sudah baik, namun dia tetap bersyukur kerana dapat merasai pengalaman berlakon sebagai anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam filem tersebut.
“Saya difahamkan latihan yang kami lakukan itu hanya sedikit berbanding dengan Paskal sebenar. Ikutkan apa yang kami buat itu sudah cukup mencabar bila membayangkan anggota Paskal sebenar buat lebih teruk lagi, orang di luar sana perlu tahu tentang kehebatan anggota Paskal ini.
“Sebenarnya kecederaan yang saya alami itu secara tidak sengaja apabila jatuh dari lokasi yang tinggi, muka saya terkena pistol sebelum masuk ke dalam air. Walaupun muka saya bengkak tetapi keesokan harinya penggambaran tetap berlangsung seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem tersebut, semalam.
Sementara itu, kata Ammar, penglibatannya dalam filem itu bukan sekadar menimba pengalaman berlakon sebagai anggota Paskal, sebaliknya filem itu juga membuatkan dia lebih menghargai keamanan negara yang kita miliki kini.
“Dahulu saya tertanya kenapa perlu kita berjuang untuk negara, bila berlakon dalam filem ini membuatkan saya lebih faham akan tanggungjawab yang bukan sahaja digalas tentera tetapi saya sendiri,” katanya.
Selain Ammar, filem dengan bajet RM10 juta itu turut membariskan Hairul Azreen, Datuk Eizlan Yusof, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.
Filem aksi yang bakal ditayangkan pada 27 September ini mengisahkan perjuangan Paskal dan TLDM yang menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna, Sabah serta Turki. – UTUSAN ONLINE











