Masalah komunikasi pesakit - Utusan Malaysia

Masalah komunikasi pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SAYA terbaca dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai aduan terdapat segelintir doktor pakar di beberapa hospital hanya menggunakan bahasa Mandarin ketika merawat pesakit.

Pengadu yang juga seorang doktor menyatakan tindakan doktor pakar itu menyukarkan doktor pelatih mempelajari kaedah rawatan malah berisiko mengancam nyawa pesakit jika berlaku kekeliruan dengan kakitangan lain khususnya bahagian farmasi.

Saya sendiri pernah perhatikan doktor pakar bercakap Mandarin dengan pesakit di sebuah hospital di Pulau Pinang sebelum memberi arahan kepada jururawat dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Secara peribadi, saya merasakan masalah berpunca daripada pesakit yang tidak fasih bahasa kebangsaan mahu pun bahasa Inggeris dan cuma berharap doktor mampu bertutur bahasa Mandarin.

Seperti mana di mahkamah dan beberapa pejabat agensi kerajaan yang terpaksa menyediakan penterjemah, masalah sebenarnya berpunca daripada individu ‘katak bawah tempurung’.

Golongan ini hanya mahu bergaul dengan kaum sendiri sehinggakan langsung tidak mahu belajar bahasa pertuturan lain. Bila sakit, doktor pun dicari yang sama bangsa.

Tidak perlu disalahkan doktor yang merawat kerana kebiasaannya isu sebenar adalah golongan enggan keluar dari kepompong perkauman.

MAMU

Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×