SERIBU satu ulasan serta pendapat yang telah diajukan oleh rakyat dan pakar-pakar percukaian menjelang pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak lama lagi yang menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Ini ekoran dari pengumuman oleh Menteri Kewangan pada tanggal 16 Julai lalu yang mengumumkan kadar cukai ini akan dikuatkuasakan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan berkuat kuasa bermula 1 September 2018. Hal ini mengundang kegusaran buat rakyat negara ini yang kebanyakannya kurang cakna mengenai ilmu pengetahuan berkenaan percukaian serta implikasinya.
Antara kegusaran terbesar yang sering menjadi bualan adalah berkenaan kenaikan harga barang yang akan berlaku setelah pelaksanaan sistem percukaian ini sepertimana yang berlaku di awal pelaksanaan GST dahulu. Apakah pisang akan berbuah dua kali apabila pelaksanaan SST nanti sekali lagi menyaksikan kenaikan harga barang keperluan seperti yang pernah berlaku dahulu?
Terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua jenis sistem percukaian ini yang mana SST adalah cukai satu aras iaitu cukai ini hanya dikenakan kepada pengilang sahaja, tidak boleh dituntut dan dianggap sebagai kos kepada perniagaan manakala, GST pula adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna yang menggunakan barang dan perkhidmatan pada setiap peringkat rantaian sehingga pengguna.
Selain itu, terdapat juga perbezaan dari segi senarai barangan yang terlibat serta kadar yang dikenakan. Walaupun hakikatnya tiada kenaikan harga yang sepatutnya berlaku pada kebanyakan barang, namun spekulasi sebegini sering digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan lebih.
Oleh hal yang demikian, rakyat adalah tidak terkecuali terkena tempias daripada perubahan yang bakal dilaksanakan ini dan rakyat harus bersedia untuk menghadapi apa jua implikasi yang terhasil. Antara persediaan yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan gaya hidup berjimat cermat dalam perbelanjaan. Dalam usaha mengamalkan gaya hidup berjimat ini warganegara ini masih lagi terkebelakang apabila kajian yang dibuat oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia membuang kira-kira 17,800 tan makanan setiap hari.
Ini menunjukkan dalam pemakanan sahaja rakyat negara ini telah melakukan pembaziran dengan jumlah amat besar. Oleh itu, mereka seharusnya bijak mengawal perbelanjaan dengan membezakan antara kemahuan dan keperluan contohnya pemilihan tempat makan antara restoran mewah, warung biasa atau masak sendiri di rumah.
Selain itu, rakyat juga boleh mengamalkan beberapa lagi langkah berjimat cermat antaranya berkongsi kenderaan ke tempat kerja seperti yang pernah disarankan oleh kerajaan sejak tahun 1970-an lagi. Rakyat juga boleh memilih untuk menggunakan pengangkutan awam yang pastinya jauh lebih menjimatkan perbelanjaan bahan api dan caj tempat letak kereta.
Antara pilihan lain bagi mengurangkan kesan daripada implikasi pelaksanaan SST kelak adalah dengan mencari pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan sedia ada. Cadangan ini pernah popular dalam tahun 2015 ketika pelaksanaan GST apabila Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada ketika itu mencadangkan agar rakyat negara ini mempertimbangkan untuk melakukan lebih daripada satu kerja bagi menambah pendapatan.
Walaupun cadangan ini pernah menerima pelbagai kecaman netizen, hakikatnya ramai rakyat negara ini yang telah melakukan pekerjaan atau perniagaan sampingan bagi membantu menambah pendapatan. Perkara ini adalah baik selagi mana tidak menyalahi undang-undang, tidak mengganggu tugas hakiki serta tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Dengan pelbagai peluang untuk menambah pendapatan yang sedia terhidang pada masa kini, rakyat perlu bijak memilih peluang-peluang ini serta mengelakkan diri daripada terjebak dengan jalan yang salah seperti menyertai skim cepat kaya.
Antara peluang yang popular masa kini adalah perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian atau perniagaan secara car boot sale yang boleh dilakukan di luar waktu kerja hakiki iaitu pada sebelah malam serta hujung minggu.
Oleh itu, rakyat diharap dapat menghadapi hari pelaksanaan SST ini nanti mengamalkan langkah-langkah seperti yang telah disenaraikan agar impak daripada pelaksanaan ini tidak memberi kesan yang terlalu besar terhadap perbelanjaan seharian. Persediaan awal adalah perlu bagi mengelakkan tekanan serta tindakan saat akhir yang pastinya lebih sukar dan menyakitkan.
Rakyat perlu bersedia untuk berubah serta menerima perubahan melihat kepada keadaan ekonomi dan politik semasa yang sentiasa mengikut peredaran masa. Adalah lebih baik untuk mengubah apa yang boleh dikawal daripada sibuk memikirkan perkara yang di luar kawalan diri sendiri.
PENULIS ialah Pegawai Kerja Akaun Pejabat Bendahari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.











