KUALA LUMPUR 28 Ogos – Juara 33 kali, Selangor menjadi pasukan pertama tersingkir daripada Piala Malaysia musim ini setelah tewas 1-2 kepada Sabah di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Lebih perit, Gergasi Merah Kuning itu mengalami kekalahan keempat berturut-turut sekali gus masih gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan dalam kumpulan D dengan menghuni tangga tercorot.
Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, Selangor yang terdesak mencari kemenangan dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat menerusi Hector Omar Lebron yang menyudahkan hantaran Rodoljub Paunovic pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan namun kegagalan jentera serangan yang diketuai penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia menyudahkan beberapa peluang terhidang menyaksikan tiada jaringan dapat diperolehi.
Sebaliknya Sabah menambah jaringan kedua menerusi percubaan jarak dekat Paunovic pada minit ke-86.
Kemenangan itu sekali gus melonjak kedudukan Sabah di tangga kedua kumpulan tersebut.
Usaha Selangor untuk merapatkan jurang jaringan akhirnya berjaya apabila Segovia menyempurnakan sepakan penalti, namun semuanya telah terlambat untuk membuka kembali peluang Red Giants ke suku akhir. -UTUSAN ONLINE











