Azizulhasni tekad memecut laju - Utusan Malaysia

Azizulhasni tekad memecut laju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA, Indonesia – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berazam untuk bangkit pada acara pecut dan keirin dalam misi menghadiahkan kilauan emas buat kontinjen Malaysia di pentas Sukan Asia 2018 edisi ke-18 ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelmarin, skuad berbasikal trek negara telah mencipta kejutan dengan meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan apabila mencatat masa 43.934 saat di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

Kini, pelumba kelahiran Terengganu itu berhasrat untuk melakukan yang terbaik bagi acara pecut individu selama dua hari bermula hari ini dalam misi meraih pingat emas pertama Sukan Asia yang kali terakhir diraih pada edisi 2010 menerusi acara keirin.

“Saya mengakui berada dalam prestasi terbaik, begitu juga skuad berbasikal trek negara, Muhd. Shah Firdaus Sahrom serta Muhd. Fadhil Mohd. Zonis selepas mencipta kejutan meraih perak dalam acara pecut berpasukan.

“Tumpuan kini terarah pada acara individu untuk kategori pecut dan keirin yang mana saya serta Shah Firdaus akan turun beraksi.

“Saya akui kejayaan sebelum ini telah memberi motivasi tambahan buat kami dan saya juga telah berbincang dengan Shah Firdaus agar lebih tenang khususnya di peringkat kelayakan kerana jika kami berdua dapat layak ke saingan akhir, peluang meraih pingat emas lebih cerah,” katanya.

Pelumba berusia 30 tahun yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu turut mengakui mahu memberi tumpuan pada acara kegemarannya iaitu keirin berbanding acara pecut yang dilihat sukar kerana mendapat cabaran hebat daripada jaguh-jaguh Asia dari Jepun, Korea Selatan dan China.

“Peluang untuk acara keirin lebih tinggi tetapi saya mahu fokus pada saingan pecut individu terlebih dahulu yang saya sasarkan untuk berada dalam kedudukan tiga pelumba terbaik pada pusingan kelayakan sekali gus meraih slot final.

“Apa yang pasti, saya akan berikan kayuhan terbaik meskipun sedar cabaran sangat sengit khususnya pelumba dari China, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, skuad berbasikal trek negara hanya meraih satu pingat gangsa yang disumbangkan oleh Josiah Ng menerusi acara keirin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini